.

Pelawat : free counter

Wednesday, June 15, 2011

KEMDA Ke-III Pengakap Matang


Kuching, 27 Mei –  Seramai 137 orang murid sekolah rendah dan menengah dari daerah matang telah menyertai perkhemahan daerah (KEMDA) di tapak perkhemahan Pusat Kokurikulum Jabatan Pelajaran Sarawak dekat Santubong hari ini. Daripada jumlah tersebut 37 orang murid lelaki dan 43 orang murid perempuan  sekolah menengah manakala dari sekolah rendah pula terdiri daripada 20 orang murid lelaki dan hanya 8 orang murid perempuan.
Perasmian program ini telah disempurnakan oleh Pengerusi Majlis Pengakap Daerah Matang, Encik Abdul Rahim bin Haji Abol. Di dalam ucapan perasmiannya, beliau menyeru agar murid-murid yang menyertai perkhemahan tersebut mengambil sebanyak mana ilmu dan kemahiran berpengakap daripada aktiviti yang dijalankan. Beliau juga menyatakan bahawa seseorang yang dapat menghayati hidup berpengakap boleh menjadi murid yang cemerlang dalam akademik dan sekali gus akan dapat menyesuaikan diri dengan mudah dalam dunia yang serba mencabar pada masa kini. Ini adalah disebabkan dengan menyertai mana-mana pergerakan berpakaian seragam dapat memperkasakan lagi disiplin diri peribadi murid dan seterusnya akan menganjakkan mutu pendidikan di sekolah. Beliau amat bangga kerana perkhemahan kali ini turut disertai oleh ibu bapa murid sekolah rendah.
Sebelum itu, Pengerusi Perkhemahan, Encik Jaidie Abang Majaha di dalam ucapannya menyatakan bahawa KEMDA merupakan aktiviti tritahunan bermula pada tahun 2005. Beliau menyatakan kemungkinan aktiviti ini akan dijadikan sebagai aktiviti dwitahunan memandangkan penyertaan yang semakin memberangsangkan dalam kalangan sekolah-sekolah di dalam daerah tersebut.
Turut hadir di dalam majlis tersebut ialah Pesuruhjaya Daerah Matang, Encik Ngatiman Sarepin dan komandan perkhemahan Encik Elroy Bansi Gersit serta Kumpulan Pengakap Kelana Daerah Matang.

1 comment:

  1. terbaik, terbaik, terbaik, terbaik,terbaik, terbaik, terbaik, terbaik, terbaik, terbaik, terbaik, terbaik, terbaik, terbaik, terbaik, terbaik, terbaik, terbaik, terbaik, terbaik, salam satu pengakap dan salam satu Malaysia Majulah Pengakap utk Negara...

    ReplyDelete